“Rakyat perlu bantuan sekarang, Bukan Tahun Depan” – Najib Razak


Kerajaan diminta segera menyalurkan bayaran tunai tambahan RM1,000 buat rakyat Sabah, khususnya penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berikutan keadaan pandemik Cooviid-19 yang teruk di negeri itu.

Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) berkata rakyat Sabah perlukan bantuan sekarang bukan tahun depan sebab negeri itu telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) paling lama tempohnya dan paling terjejas dengan gelombang ketiga Cooviid-19.

Katanya, Sabah juga adalah antara negeri yang paling tinggi kadar kemiskinannya dan bertambah teruk ketiuka zaman pentadbiran WARISAN dan Pakatan Harapan (PH).

“Kadar pertumbuhan Sabah turun dari 8.2 peratus pada 2017 (zaman Barisan Nasional) paling tinggi di antara semua negeri dalam Malaysia, menjunam ke paling rendah untuk dua tahun berturut-turut dengan kadar pertumbuhan cuma 1.5 peratus pada tahun 2018 dan 0.5 peratus pada tahun 2019.

“Kita jangan membiarkan jurang pembangunan antara Sabah dengan Semenanjung bertambah besar. Bantulah Sabah sekarang,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021, di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib berkata, bantuan itu dapat dilaksanakan kerana negeri itu dijangka bakal menerima pembayaran cukai petroleum sebanyak RM1.25 bilion tahun depan.

Dilaporkan sehingga kini, terdapat 737,797 penerima bantuan BPN dari golongan B40 dan M40 di Sabah.

Mencelah perbahasan itu Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berpendapat bantuan RM1,000 juga boleh diberikan kepada penerima BPN di Sarawak, Kelantan dan Terengganu kerana negeri itu juga bakal menerima bayaran cukai petroleum dari PETRONAS.

Belanjawan 2021: BN bagi sokongan bersyarat

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) meletakkan sokongan bersyarat terhadap Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 dengan beberapa cadangan termasuk pemberian penerusan moratorium pinjaman secara automatik dan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 kepada semua pencarum.

Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) yang berbahas bagi pihak BN hari ini berkata lanjutan moratorium pinjaman secara automatik perlu diberikan sehingga 30 Jun 2021.

Katanya, Belanjawan 2021 telah dapat menyediakan keperluan rakyat namun berdasarkan kepada pengharapan rakyat ia perlu ditokok tambah lagi.

“Perlu dibuat penambahbaikan supaya penerimaan rakyat kepada belanjawan ini akan menjadi lebih mantap dan menyeluruh.

“Saya yakin dan percaya keputusan untuk menerima dua cadangan utama yakni moratorium dilanjutkan hingga 30 Jun 2021 dan kelulusan untuk pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 secara sekali bayar (one-off) akan membawa kepada kepuasan rakyat yang lebih tinggi terhadap kerajaan,” katanya.

Najib berkata pengeluaran secara tidak bersasar KWSP dan lanjutan secara automatik moratorium pinjaman secara automatik adalah langkah menyuntik dana terus ke tangan rakyat.

Beliau juga berkata pengeluaran simpanan KWSP itu juga boleh diuruskan semula pada masa depan ini dengan penstrukturan semula caruman untuk tidak membebankan agensi berkenaan.

“Kita perlu menyuntik lebih banyak dana terus ke tangan rakyat. Lagi pun ini tidak membabitkan penambahan defisit kerajaan atau pun hutang negara,” katanya

Pada masa sama, katanya, peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebanyak RM81 juta perlu dibatalkan.

Selain itu, katanya kerajaan diminta mengurangkan yuran pengajian penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta kerana golongan itu kini mengikuti pengajian dalam talian.

Katanya, penuntut terkesan lebih-lebih lagi apabila mereka diminta pulang ke rumah setelah tiba di kampus masing-masing baru-baru ini.

“Antara yang patut dipertimbangkan termasuklah pengurangan yuran pengajian kerana kos operasi di kampus sudah berkurangan dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, memandangkan pembelajaran banyak beralih secara dalam talian.

“Kos pelan data internet seharusnya diberikan dengan percuma atau dengan kadar minimum kerana mereka mengikuti pengajian dalam talian,” katanya.

737,797 rakyat Sabah diluluskan bantuan BPN

Pada 22 april yang lalu, akhbar melaporkan seramai 737,797 orang rakyat di Sabah telah mendapat kelulusan Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Jumlah itu adalah daripada 6.5 juta penerima layak di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, berkata jumlah terbabit tidak termasuk individu yang baru mendaftar.

“Pendaftar baharu akan ditapis kelayakan mereka dan ditentukan selepas tempoh pendaftaran berakhir pada 30 April ini,” katanya.

Beliau mengeluarkan kenyataan terbabit selepas mendapat taklimat ringkas dari Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah, Datuk Hajam Lajah Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembayaran BPN untuk rakyat Sabah membabitkan golongan yang disasarkan.

“Setakat ini pembayaran BPN di Sabah dijangka akan membabitkan seramai 341,229 orang ketua isi rumah B40 ( pendapatan RM4000 ke bawah ) dengan bayaran RM1600 setahun dan anggaran jumlah sebanyak RM545,966,400.

“Bagi individu bujang B40 (pendapatan RM2000 ke bawah) pula adalah seramai 314,451 orang yang akan menerima RM800 seorang setahun berjumlah sebanyak RM251,560,800.

“Sementara itu, ketua isi rumah M40 (pendapatan RM4001 sehingga RM8000) dengan bayaran RM1000 setahun adalah berjumlah 51,026 orang dengan peruntukan sebanyak RM51,026,000

“Individu bujang M40 (pendapatan RM2,001 sehingga RM4,000) jumlah yang telah diluluskan ialah 31,091 dengan jumlah bayaran RM500 dengan jumlah peruntukan RM15,545, 500,” katanya.

Abdul Rahim turut memberitahu, kerajaan persekutuan telah memperuntukkan dana sebanyak RM864,098,700 juta BPN bagi sejumlah 737,797 orang yang layak di Sabah.

“Bantuan ini adalah tanda keprihatinan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada rakyat Malaysia termasuk Sabah yang terjejas oleh PKP, ” katanya.